Solat Tiang Ugama!

Lompat Ke Bawoh: [ BOTTOM PAGE ]

[ Home ] - LAST PAGE REFRESH:

carian ..

Friday, January 12, 1979

JKR Kedah vs PKNS


Cerita-cerita di bawah dicedok dari HKC Forum ..
[ tiada editan langsung ]

Cerita #1

Stadium Darul Aman cukup banyak nostalgianya. Dahulu sebelum dibesarkan, kapasiti penonton hanya sekadar paling maksimum 12,000(Melimpah sehingga ketepi trek).Penyokong fanatik dari Kuala Kedah seringkali dilihat memanjat dinding belakang untuk masuk percuma. Pagar sekeliling stadium puluhan kali terpaksa diganti dan dibaiki. Dengan bantuan lori ikan, dan cutter yang dibawa, pagar yang memagari sekeliling stadium sentiasa menjadi mangsa.

Demikianlah kentalnya semangat juang penyokong Kedah hanya kerana mahu melihat aksi terbaik pemain anak negerinya.

Stadium Darul Aman juga ada sejarah hitam berdarah tersendiri. Barangkali ramai termasuk generasi Liga Super hari ini sudah terlupa. Di saat itu, pada tahun 1979, zaman di mana hanya ada dua piala yang dipertandingkan dalam kancah bola sepak tanahir, iaitu Piala Malaysia dan Piala FAM, di mana setiap negeri akan mengantar dua wakil untuk mewakili negeri. JKR Kedah pada tahun itu dengan barisan pemain anak negeri terhebat, yang disiang harinya hanyalah technician biasa, buruk jalan, tetapi di malam harinya dengan semangat juang yang kental telah ditakdirkan bertemu PKNS(Selangor) dalam separuh akhir Piala FAM di Stadium Darul Aman. PKNS diwakili barisan bintang. Di waktu itu PKNS adalah sinonim dengan pasukan Selangor dan Selangor adalah lambang pasukan Malaysia(80% pemain Malaysia terdiri dari pemain Selangor).

Gelaran 'underdog' bagaimanapun tidak melemahkan asas perjuangan JKR Kedah. Dengan diketuai penyerang lipas kudung Roshidi Shaari, yang mampu melakukan aksi 'badik' dan melekatkan bola di atas dahi dan tengkuk, telah berupaya memeningkan kepala pertahanan tengah diketuai Soh Chin Aun(yang juga kapten pasukan Malaysia). Selain aksi Roshidi Shaari membuatkan V. Arumuggam, penjaga gol yang terkenal dengan gelaran 'Spiderman' tidak senang duduk. Barisan sayap kiri JKR Kedah pula dikemudi oleh penyerang kidal bertubuh kecil, Rosli Mohammad yang mampu berlari dengan kencang sehingga akhirnya Santokh Singh pertahanan kanan tiada upaya untuk menahannya melainkan menggunakan taktik kotor (aksi yang menimbulkan kemarahan peminat). Jamaluddin Hassan yang tinggi lampai pula begitu gah mengawal K. Rajagopal dan Mokhtar Dahari dengan bantuan Johari Ali (bekas driver CEO PKNK Dr. Ghani Shafie).

Stadium Darul Aman gegak gempita apabila kapten JKR, Khor Sek Leng (Mohd Azrai Khor Abdullah) menjaringkan gol pendahuluan dari jarak 30 meter yang hanya mampu dilihat oleh V.Arumugam. Rakyat dan penonton Kedah pada malam itu termasuk aku, sudah merasakan sejarah bakal tercipta. Namun malangnya akibat sang penguasa(pengadil) perlawanan yang lebih memihak kepada PKNS atas dasar dibarisi oleh pemain berstatus bintang dan untuk mengelakkan PKNS menerima malu, maka dengan pengaruhnya keputusan perlawanan malam itu berubah.

Di saat akhir pergaduhan tercetus, lalu terjadilah rusuhan bola sepak terbesar dalam sejarah negara. KBDYMM Tuanku Sultan hanya dapat berangkat pulang keluar dari Stadium Darul Aman jam 1.30 pagi. Ramai anggota FRU dan penonton yang bertempur terpaksa diusung ke hospital. Peniaga disekitar Garden(Taman Merdeka) ada yang menjadi mangsa gas pemedih mata yang ditembak oleh FRU. Tetapi jika kental penyokong dan rakyat Kedah tidak mudah luntur pada malam itu, kebenaran tetap kebenaran, mereka sanggup dan rela berkorban apa sahaja demi sayangkan pasukan negeri.

gambar0: Skuad PKNS 1979 - yg bulat tuh: Khalid Ali.




Cerita #2

Keistimewaan Super Mokh adalah kemampuan untuk 'shoot on the run'... itu terbukti apabila beliau menjaringkan gol penyamaan sewaktu Malaysia seri dengan England 'B' di Stadium Merdeka 1-1. Mokhtar membuat larian dari tengah padang menyerong ke bucu kanan kotak penalti England sebelum merembat kencang melepasi Keeper England walaupun dikejar kencang oleh pemain England, CC Chinaglia... ini di tahun 1977 atau 1978 kalau tak salah.

Satu lagi, nostalgia yang tak dapat saya lupakan tentang Super Mokh ni berlaku di tahun 1979. Kisah bermula semasa saya menonton perlawanan Suku Akhir Piala FAM antara JKR Kedah dan PKNS Selangor di Stadium Darul Aman. Pada penghujung perlawanan di mana Kedah sedang mencari gol penyamaan apabila Selangor mendahului 2-1 angkara penalti yang dipertikaikan, maka berlakulah satu kekasaran apabila seorang pemain Kedah kalau tak salah Nasir Ibrahim bergaduh dengan pemain PKNS iaitu Roslaini Mohd Shah.. sedang dok tolak menolak, jerit menjerit dan pemain kedua belah pihak mula berkerumun tu...

TIBA-TIBA, Super Mokh yang merupakan Kapten PKNS meluru ke arah kumpulan pemain yang sudah hampir nak bergaduh sakan tu.. semua pemain terhenti dan memberi laluan kerana respek kat Mokhtar Dahari. Semua sangka dia datang nak menyuraikan pergaduhan/pertengkaran.... TAK DISANGKA BUAH CEMPEDAK JADI NANGKA... SUPER MOKH DENGAN LARIAN KENCANGNYA KETIKA ITU MELAYANGKAN SATU FLYING KICK KE ARAH PEMAIN KEDAH... tak ingat kena sapa, kalau tak salah Mustakeem Omar kot...

Wahhh, apa niii !!! Lepas tu apa lagi... kami semua naik minyak aaaa!!! dalam padang dah mula bertumbuk sakan.. kami kat tempat duduk penonton mula berkelahi dengan FRU , ada satu Pak Long baling pinggan laksa kena topi besi FRU... Saya ingat UFO terbang masuk nak berkelahi sekali... Pinggan laksa? Maklumlah, stadium kita dulu pagar dawai berlubang-lubang, kecil saja stadium dan pintu waktu half time dibuka untuk semua masuk berduyun-duyun bersama pinggan laksa dll...

Lepas FRU kena Flying Saucer tu, kami gelak kat FRU ramai-ramai... apa lagi.. FRU lepas tu panggil sorang mamat Kuala Kedah mai masuk kalau berani.. nak jadi cerita mamat ni dok kerja laut, pakai singlet malam tu, masuk pi 'mengadap' FRU tadi... tak di sangka mamat ni boh penumbuk tepat atas batang hidung FRU tu sampai hampir jatuh.. lepas tu mamat tu lari masuk balik kat tangga ayam... dahsyat!! Kerana malu, FRU naik gila dan terus tembak pemedih mata macam Perang Iraq... kami goyang tiang lampu stadium, dulu tiang kecik saja... sampai atas tiang pun kita boleh tengok bola masa tu... setengah ahli forum di sini masa tu kecik lagi dan tak tau bab ni... ada yang belum lahir lagi... Saya Form 1 masa tu.

Berbalik kepada cerita FRU mengamuk.. ada bom asap yang keluar stadium dan masuk kereta orang/pecah cermin dll... FRU pun panik dan kelam kabut... penyokong Kedah 'Pra Hijau Kuning' tak tunggu dah, kami terus mara melangkah pagar yang hanya setinggi pinggang, menawan padang, memburu dan membelasah puak PKNS yang kurang ajar malam tu... disamping kena belasah dengan belantan FRU... Tak kira dah, sebab maruah kita dicabar oleh depa-depa tuuu!!! Mokhtar kami buru dan sempat sorang wira kita boh penerajang dan penumbuk sampai last kena balut kepala dia.... tiang bendera stadium banyak kami cabut dan diguna untuk mempertahankan diri dari FRU dll...

Malam tu lah malam terhebat amukan penyokong 'Pra Hijau Kuning' dalam sejarah bolasepak Kedah. Semuanya gara-gara Mokhtar Dahari yang kita kasihi menganiayai PEMAIN KEDAH yang kita kasih dengan jiwa raga... tindakan Super Mokh boh Flying Kick ibarat menjijak-jijak bendera Kedah dan menjatuhkan maruah anak-anak Kedah. Maklum lah ketika tu depa semua elit... angkuh dan bongkak sekali memandang hina pasukan yang dipanggil pasukan bendang dan kampung.

Itulah kejadian yang harus kita semua ambil iktibar. Orang Kedah ni baik, banyak bersabar,tapi kalau dah marah, susah dan brutal nanti. Tak kira sapa dah... Kalau setakat sikit-sikit penyokong Kedah marah penyokong Selangor baru-baru ni, itu biasa saja.... jangan sampai nak kata Stadium tak Aman dll untuk menaikkan marah kita yang sememangnya dah banyak bersabar sekarang ni... semua tahu Penyokong Kedah fanatik sebagaimana juga Penyokong Selangor... sepatutnya hijau kuning dan merah kuning ini menjadi warna gemilang bolasepak Malaysia.... jangan pula menjadi lambang perseteruan yang membawa rebah ke atas kita semua.

p/s Saya lepas game JKR Kedah dan PKNS tu, bengkak-bengkak mata jugak lah... Nak tergelak pun ada.. bengang pun ada... ada sorang Tok Chik tu dengan seluar pi motong, pelikat selempang dan ketayap putih atas kepala mengamuk gila masa dok bergelut sakan dalam stadium tu main tibai ikut suka saja, dia dah turun minyak macam gajah berang... mata dia sampai terbeliak, air liur pun keluar, menggerunkan... sampai saya pun terkena 2-3 das penyiku dia dll... ish ish...

Pemain PKNS dan Super Mokh semua berlari satu padang dikejar dan akhirnya dikepung oleh FRU dengan membuat benteng perisai mempertahankan depa dan akhirnya kami semua keluar dari padang apabila dah agak puas, pedih mata dan pasukan bantuan polis serta FRU tambahan sampai lagi... huhu, itu lah sejarah lama... diharap jangan lah sesiapa seperti Budak Selangor atau siapa saja main permainan provokatif... tak mau dah sejarah silam persengketaan dipanaskan semula. Kami anak-anak Kedah... bujur lalu melintang patah!Hijau Kuning lambang kemegahan! Tidak ada tolak ansur jikalau maruah dan harga diri cuba dipermain-mainkan.

Gambo di bawah: kredit to maximum baracheil SFC!